KUALA LUMPUR: Menceburi perniagaan di usia yang lewat tanpa ada pengalaman selalunya agak berisiko, apatah lagi jika perniagaan yang dijalankan itu sesuatu yang di luar kepakarannya.
Bagaimanapun, penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah tetap tekad untuk memulakan perniagaan berkaitan kosmetik walaupun sebelum ini pernah memiliki bisnes ikan arowana.
Jamal, 62, berkata, dia memilih untuk menjadi rakan bisnes kepada Zarania Beauty memandangkan syarikat itu memiliki reputasi tinggi apabila pernah mengeluarkan produk jenama Natasya yang sudah ada di pasaran lebih 10 tahun lalu.
Menurut Jamal, idea kerjasama itu tercetus apabila dia melihat hobi isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin yang gemar berhias cantik dan bersolek setiap masa.
“Jadi saya jalin kerjasama dengan Zarania Beauty sebagai hadiah sempena isteri saya hamil anak kami yang ketiga.
“Walaupun saya teruja dengan bisnes baharu ini namun saya akui perasaan bimbang itu tetap ada kerana ini pertama kali saya menceburi bidang kosmetik.
“Tapi saya percaya produk ini boleh pergi jauh dan mungkin ini permulaan dalam bidang ini dan kalau ada rezeki, kami akan keluarkan pelbagai produk kosmetik lain,” katanya.
Selain itu, Jamal menambah, dia dan rakan kongsi turut menyasarkan jualan bukan hanya dalam Malaysia tetapi juga di Brunei, Indonesia serta Singapura selain merancang untuk mengeluarkan lebih banyak rangkaian produk yang biasa digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Jamal turut meluahkan rasa syukur apabila rangkaian produk Zarania Beauty kini semakin menjadi pilihan pengguna yang boleh didapati secara atas talian di pasaran.
“Saya bersyukur apabila sepanjang pandemik masih ramai yang membeli produk ini biarpun secara dalam talian. Lagi pula, ini juga antara strategi pemasaran syarikat sekarang untuk memberi fokus kepada jualan di atas talian,” katanya.
Pada Ogos lalu, rezeki Jamal tidak putus-putus apabila dia bakal dikurniakan cahaya mata lagi selepas isterinya hamil 12 minggu anak ketiga mereka.
Pasangan itu memiliki anak kedua, El Issac Yamani pada 11 November tahun lalu.
Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan memperoleh cahaya mata perempuan, Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Oktober 2019.
Selain Azura dan El Issac, Jamal turut mempunyai dua lelaki iaitu Osama Yamani, 20, dan Ahmad Zaki Yamani, 15, menerusi perkahwinan terdahulu.