PETALING JAYA: Malang menimpa seorang imam kedua sebuah surau di Taman Bukit Kajang di sini apabila maut dilanggar kereta dipandu imam pertama, awal pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi di pekarangan surau itu apabila mangsa yang juga pesara berusia 78 tahun serta rakannya yang juga pesara berusia 76 tahun baru selesai menunaikan solat Subuh berjemaah di surau terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa berada di pekarangan surau ketika dilanggar kereta Perodua Myvi dipandu imam pertama itu.
Katanya, kedua-dua mangsa berada di pekarangan surau ketika pemandu Perodua Myvi iaitu imam pertama Myvi mengundurkan keretanya dari bahagian lot parkir sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan lain.
“Akibat pelanggaran itu, imam pertama berusia 76 tahun itu panik lalu menggerakkan kenderaannya ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang berada di hadapannya.
“Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka baru selesai solat Subuh dan mahu pulang ke rumah masing-masing di Taman Kajang Jaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Azman, imam kedua disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa mengalami patah lutut kanan dan patah pergelangan kaki kiri dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jelasnya, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu kenderaan masing-masing.
“Bagi pemandu sudah berusia, mungkin ada keperluan untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka masih boleh mengendalikan kenderaan dengan baik,” katanya.- UTUSAN ONLINE