Hotel perlu dapatkan sijil pengesahan halal - Utusan Malaysia

Hotel perlu dapatkan sijil pengesahan halal

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci van kaunter bergerak kepada Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap di Wisma Negeri, Seremban. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mana-mana hotel di Negeri Sembilan yang belum mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia, digalak mendapatkannya dengan kadar segera.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu bagi memberi keyakinan kepada orang ramai selain kepentingan untuk penyediaan makanan halal.

“Sijil halal ini sangat penting kerana ia termasuk makanan yang disediakan di hotel. Saya menggalakkan mana-mana pengusaha hotel di negeri ini supaya memohon dengan segera.

“Bergantung kepada pengusaha (hotel) untuk mendapatkan sijil halal atau tidak, tetapi saya berharap mereka mendapatkan sijil halal berkenaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS) memaklumkan, hanya 15 buah hotel di negeri ini mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.2 juta bagi membantu Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di seluruh negeri ini untuk menyediakan perkhidmatan kaunter kutipan cukai bergerak.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang berhubung kes positif Covid-19 di negeri ini yang menunjukkan jumlah tidak sekata iaitu kadangkala menurun kemudian kembali meningkat.

“Di Melaka yang sedang menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) namun Negeri Sembilan merekodkan kes baharu Covid-19 sedikit tinggi berbanding Melaka ketika ini. Negeri Sembilan tidak apa-apa yang berlaku jadi mengapa ia tinggi?

“Saya juga berharap penduduk di negeri ini tidak mengadakan kenduri setiap hari dan bagi mereka yang pulang ke kampung perlulah mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya