PETALING JAYA: Untuk menambah sengat di bahagian serangan, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membuat keputusan untuk kembali menyenaraikan penyerang berdarah kacukan, Darren Lok bagi menyertai kem persiapan pasukan ke Piala AFF 2020.
Jelas Cheng Hoe, jentera serangan negara masih lagi belum mencapai tahap memuaskan dan dikenal pasti antara posisi yang perlu diperbaiki.
Oleh itu, beliau berharap dengan kehadiran Darren boleh membantu memantapkan ketajaman pasukan pada kejohanan dwitahunan itu yang berlangsung di Singapura pada 5 Disember hingga 1 Januari depan.
“Saya rasa selepas dia mempamerkan musim yang cemerlang bersama kelab PJ City (Petaling Jaya City), tidak wajar buat kami mengetepikan khidmat Darren kerana barisan kejurulatihan sentiasa memantau setiap prestasi pemain.
“Justeru, ini adalah peluang yang baik buatnya untuk kembali membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa selepas cukup konsisten dan disiplin sepanjang kempen Liga Malaysia tahun ini.
“Selain itu, saya anggap kehadiran Darren boleh menambah bisa skuad negara kerana semua tahu disitulah kelemahan pasukan yang agak bergelut untuk menjaringkan gol dan mungkin dia boleh memberi dimensi berbeza,” katanya.
Kali terakhir penyerang kelahiran England berusia 30 tahun itu dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad negara adalah pada tiga tahun lalu.
Darren membuat penampilan sulung dipentas antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya pada 2016 dan berjaya disenaraikan dalam skuad akhir Piala AFF tahun tersebut.
Mula mencipta nama bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2016 hingga 2019, sebelum Darren berhijrah ke Terengganu pada tahun lalu dan kini bersama PJ City.
Bagi merebut tempat untuk menjadi penggempur utama, Darren akan bersaing dengan empat pemain di posisi penyerang seperti Syafiq Ahmad dan Guilherme de Paula (JDT), Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor), dan pemain muda, Luqman Hakim Shamsudin yang berpangkalan di Belgium bersama kelab KV Kortrijk.
Dalam pada itu, ketiadaan Corbin Ong yang begitu konsisten di posisi pertahanan kiri dan Matthew Davies di kanan pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada benteng skuad Harimau Malaya.
Situasi tersebut dilihat bakal membuat Cheng Hoe ‘pening’ untuk mengisi kekosongan yang ditinggal Corbin dan Davies.
Sementara itu, bekas pengendali Kedah itu turut menjelaskan pertahanan JDT, Aidil Zafuan Radzak masih relevan untuk dipanggil meskipun kurang minit permainan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
“Kalau dilihat dalam perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan lalu, dia (membuktikan) masih relevan. Walaupun tidak banyak sejak beraksi di Dubai, dia beraksi dan tunjukkan kepimpinan yang baik,” ujarnya.
Kem latihan pusat skuad negara akan dijalankan secara berperingkat bermula Isnin depan, manakala pemain yang berpangkalan di luar negara akan terus diterbangkan ke Kota Singa menjelang sepak mula berdepan Kemboja, 6 Disember depan.