PUTRAJAYA: Kenaikan harga sayur seperti dilaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bukan fenomena di seluruh negara dan hasil pemantauan mendapati, kebanyakan harga tersebut masih terkawal dan berbeza-beza mengikut lokasi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembukaan semula semua sektor ekonomi menyebabkan berlaku permintaan yang sangat tinggi secara mendadak terhadap barangan seperti telur, ayam dan sayur.
Menurutnya, peningkatan ini tidak sepadan dengan keupayaan pengeluar barangan tersebut yang telah mengurangkan kuantiti pengeluaran semasa pandemik akibat permintaan berkurangan, malah ia bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan fenomena dunia.
“Kenaikan harga sayur keluaran tempatan dikesan di beberapa tempat dan berpunca daripada faktor cuaca, logistik dan peningkatan kos baja dan racun. Isu seperti hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands serta kawasan tanaman sayur sekitarnya turut menjejaskan rantaian pengedaran terutama bagi sayur-sayur dari tanah tinggi tersebut.
“Selain itu, kesukaran mendapatkan tenaga kerja menyebabkan hasil tidak dapat dikeluarkan secara maksimum, sekali gus mengakibatkan bekalan berkurangan yang akhirnya telah menyumbang kepada punca kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bagi sayur-sayur import pula, harga di negara pengeluar yang meningkat dan masalah pengeluaran lain seperti isu kenaikan harga input pertanian dan cuaca di negara pengeluar turut memberi kesan.
Tambah beliau, kenyataan Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands sangat optimistik bahawa harga sayur berpotensi untuk kembali stabil apabila pengeluaran dapat ditingkatkan pada tahap normal dengan bantuan cuaca, logistik dan penambahan tenaga buruh di ladang.
Berikutan itu, Alexander berkata, kenyataan oleh CAP berdasarkan pemantauan di empat pasar awam di Pulau Pinang itu tidak wajar diterbitkan secara umum yang menimbulkan persepsi tidak tepat serta keresahan dalam kalangan pengguna seolah-olah ia berlaku di seluruh negara.
“Kementerian berharap dapatan serta hasil kajian berkenaan harga barang keperluan dapat dibincangkan terlebih dahulu dengan KPDNHEP supaya data-data tersebut dapat dirujuk silang dengan data yang dikumpulkan secara harian di lebih dari 1,500 premis sebelum diterbitkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KPDNHEP serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menubuhkan jawatankuasa bersama serta mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dan pemain industri bagi mendapatkan pandangan serta cadangan berhubung isu ini. – UTUSAN