PUTRAJAYA: Malaysia hari ini hanya merekodkan pertambahan satu kluster baharu selepas semalam, mencatatkan 10 kluster sekali gus menjadi antara jumlah kluster yang terendah sejak pandemik melanda negara tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan satu kluster itu menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 240 kluster.
“Selain itu, 5,638 kluster yang tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,878 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 5,859 kes berbanding semalam, 6,355 kes sekali gus mengatasi 4,970 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 529 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 261 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 5,859 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 102 kes (1.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, 5,757 kes (98.3 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 45 kes berbanding kelmarin, 55 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,937 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak tujuh daripada 45 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,045 kes.