PUTRAJAYA: Tempat kerja mencatatkan jumlah terbanyak iaitu tiga daripada tujuh kluster Covid-19 hari ini, diikuti satu pusat tahanan, komuniti, keagamaan dan satu kluster pendidikan swasta, masing-masing satu kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tempat kerja melibatkan dua di Johor Bahru dan Segamat, Johor serta satu di Kinabatangan, Sabah manakala satu kluster pusat tahanan di Kepong, Kuala Lumpur.
“Satu kluster komuniti di Ranau, Sabah serta satu kluster keagamaan di Hilir Perak, Perak dan satu kluster pendidikan swasta di Raub, Pahang.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 390 kluster manakala 5,398 kluster yang telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 5,291 kes berbanding semalam, 5,071 kes sekali gus mengatasi 4,947 kes sembuh.
Selain itu katanya, sebanyak 545 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 286 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 5,291 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 75 kes (1.4 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, 5,216 kes (98.6 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu da dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 70 kes berbanding kelmarin, 63 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my.
Jumlah kematian itu menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,045 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 15 daripada 70 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,879 kes. – UTUSAN ONLINE