KOTA BHARU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerima 7,000 permohonan Bantuan Khas Covid-19 daripada keluarga atau waris pesakit yang sudah meninggal dunia.
Jumlah tersebut amat sedikit jika dibandingkan jumlah mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 yang kini mencecah seramai 30,000 orang.
Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pihaknya mendapati masih ramai waris si mati yang belum memohon bantuan berkenaan walaupun telah diuar-uarkan sebelum ini.
“Kita dapati ada beberapa faktor yang menyebabkan waris mangsa tidak berbuat demikian. Salah satunya, sebelum ini waris perlu mengemukakan beberapa dokumen pengesahan Kementerian Kesihatan. Selain itu, ada waris si mati enggan memohon kerana berpendapat mereka tidak perlu menanggung kos sama ada ketika berada di hospital atau proses pengebumian.
“Bagaimanapun selepas kita membuat pembaharuan berhubung dokumen mangsa, apa sahaja dokumen daripada Kementerian Kesihatan sama ada surat hospital atau surat kematian, itu sudah memadai untuk membuat permohonan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat berhubung persiapan banjir di Kelantan di Bilik Gerakan Negeri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, permohonan dibuat waris mangsa akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan sama ada layak atau sebaliknya untuk mendapat bantuan berkenaan.
Sehubungan itu, pihaknya meminta waris supaya bersabar sekiranya permohonan mereka mengambil masa yang agak lama, berikutan ia perlu melalui proses tertentu sebelum bantuan dikeluarkan.
“Permohonan untuk bantuan kematian ini akan ditutup sebaik sahaja negara memasuki fasa endemik. Selepas itu, ia terpulang kepada Kabinet sama ada bantuan akan diteruskan atau sebaliknya. Selain bantuan kematian membabitkan nilai RM5,000, kita turut menyediakan bantuan harian RM100 kepada pesakit yang positif Covid-19 sehingga terjejas dari segi pendapatan.
“Sebagai contoh seorang peniaga yang disahkan positif dan perlu dikuarantin selama tujuh hari tidak dapat berniaga. Dia layak memohon dan akan diberikan bantuan RM100 sehari sehingga maksimum 14 hari,” katanya.
Katanya, ada yang memohon namun tidak layak dari segi teknikal seperti suri rumah atau pesara yang tidak terjejas pendapatan dan setakat ini hanya tujuh peratus permohonan telah ditolak kerana tidak layak.