Hanya 15 peratus belia terlibat dalam sektor pertanian

Hanya 15 peratus belia terlibat dalam pertanian

HASLINA Abdul Hamid (tengah) menyampaikan replika cek kepada salah seorang wakil penerima geran program Agropreneur Muda peringkat negeri Perlis di dewan serbaguna kampus Unimap Kubang Gajah, Arau, Perlis, hari ini. - FOTO/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sekitar 15 peratus daripada 1.4 juta belia di negara ini terlibat dalam bidang pertanian, sekali gus memberi gambaran golongan muda masih kurang berminat dalam sektor tersebut.

Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sedang berusaha meremajakan sektor pertanian dan menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan belia dalam bidang berkenaan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, kajian turut menunjukkan hanya sekitar empat peratus sahaja pelajar di universiti yang akan mempertimbangkan kerjaya mereka dalam bidang pertanian. 

“Kesemua data ini menunjukkan persepsi para belia kepada sektor pertanian dan ia perlu diperbaiki,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Usahawan Agro peringkat negeri Perlis, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Pada program sama, Haslina turut menyampaikan replika cek geran Program Agropreneur Muda 2021 kepada wakil 39 agropreneur muda Perlis bernilai RM780,000. 

Seramai 266 usahawan tani di negeri ini dibantu menerusi geran sama berjumlah RM4.51 juta sejak 2016.

Sebagai rekod, sejak 2016, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan berjaya membantu seramai 7,528 orang agropreneur muda seluruh negara dengan nilai RM134.29 juta melalui kelulusan geran dan pembiayaan Agropreneur Muda sejak tahun 2016.

Tambah Haslina, pelbagai program telah dirangka menerusi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan bakal dilaksanakan bagi menarik golongan belia berusia 18 hingga 40 tahun menceburi bidang pertanian.

Katanya, langkah-langkah meremajakan sektor pertanian perlu diperkasakan dengan menggalakkan penglibatan golongan muda, mengaplikasikan teknologi pertanian moden dan mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian.

“Golongan muda juga dikenalpasti sebagai kelompok utama yang cenderung atau terbuka menerima teknologi-teknologi pertanian moden seperti Internet Of Thing, ‘precision farming’ dan pertanian pintar.

“Penglibatan golongan muda ini dapat meningkatkan jaminan bekalan dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kita kepada import makanan di masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya