Hanya 1 peratus peminjam AIM belum lunas pinjaman - Shabudin  - Utusan Malaysia

Hanya 1 peratus peminjam AIM belum lunas pinjaman – Shabudin 

SHABUDIN Yahaya (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 148 pelajar dan penuntut IPT di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Hanya satu peratus daripada peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) didapati masih gagal membuat pembayaran balik pinjaman, ketika ini. 

Pengerusi AIM, Datuk Shabudin Yahaya berkata, latar belakang peminjam tersebut bagaimanapun telah diselidik dan mereka diberi kelonggaran atas beberapa sebab khususnya melibatkan masalah kewangan. 

“Secara keseluruhannya, proses pembayaran balik pinjaman AIM  kembali seperti biasa sejak September lalu selepas tempoh moratorium tamat pada  Ogos dan segala-galanya berjalan dalam keadaan baik,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM200 tiap seorang kepada 148 penuntut istitusi pengajian tinggi (IPT) dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, di sini hari ini. 

Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor memberitahu, hampir RM30,000  diperuntukkan untuk penyerahan sumbangan kali ini dan diteruskan secara berperingkat mengikut keperluan. 

“Bantuan untuk pelajar IPT di Tasek Gelugor ini kita telah salurkan sejak 2004  tanpa mengira kaum, agama dan parti. 

“Walaupun tidak banyak, ia telah memberi manfaat kepada ramai pelajar terutama mereka yang datang daripada latar belakang keluarga kurang berkemampuan,” ujarnya. 

MUHAMMAD MUKAMYL Mohd. Anannu bersama ibunya, Nor Azah Bajuri pada majlis penyerahan sumbangan wang tunai sebanyak RM200 oleh pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

Dalam pada itu, seorang penerima, Muhammad Mukamyl Mohd. Anannu, 18, bersyukur kerana bantuan yang diterimanya itu dapat membantu meringankan beban ditanggung keluarganya ketika ini. 

Menurut anak bongsu daripada lima beradik yang akan mengikuti pengajian dalam bidang penyelenggaraan pesawat di sebuah kolej penerbangan di Negeri Sembilan itu, sumbangan yang diterima juga memberi motivasi kepadanya untuk berusaha lebih gigih.

“Insya-Allah, saya akan buktikan kepada semua pihak terutama penduduk di sini (Tasek Gelugor) bahawa semua orang mampu untuk berjaya walaupun dengan cara tersendiri,” katanya yang ditemani ibu, Nor Azah Bajuri, 58. 

Bagi seorang lagi penerima, Normaiza Afrina Zaman, 19, bantuan sebanyak RM200 itu akan digunakan dengan sebaiknya termasuk untuk membeli buku-buku serta alat tulis. 

“Syukur sangat-sangat kerana keluarga saya pun bukan orang senang. Ayah pekerja kontrak manakala ibu pula menjual makanan di tepi  jalan sahaja,” kata penuntut jurusan perakaunan dari Kolej Politech Mara (KPM) cawangan Alor Setar, Kedah itu.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya