Hafizah bawa pulang RM11,250 hadiah kecemerlangan UMK

Hafizah bawa pulang RM11,250 hadiah kecemerlangan UMK

DR. HANNAH Alam Faizli diraikan ibu dan bapanya selepas merangkul enam Anugerah Kecemerlangan Fakulti Perubatan Veterinar, UMK di Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Membaca satu juzuk al-Quran setiap hari menjadi amalan hafizah yang merangkul enam Anugerah Kecemerlangan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa di sini, baru-baru ini.

Dr. Hannah Alam Faizli, 27, diumumkan sebagai penerima Anugerah Kijang Emas dengan hadiah RM5,000, Anugerah Terbaik Projek Tahun Akhir (RM2,000), Anugerah Terbaik Paraklinik (RM1,500) dan Anugerah Terbaik Latihan Klinikal (RM1,000).

Anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepemimpinan dengan hadiah RM1,000) dan Anugerah Kecemerlangan Hill’s Pet Nutrition – Terbaik Peperiksaan Komprehensif RM750.

Dengan kejayaan itu, lepasan Maahad Tahfiz Quran Hira, Jeram, Selangor serta penerima Anugerah Dekan UMK sebanyak 10 kali tersebut membawa pulang hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM11,250, sijil dan trofi. 

Ketika ditemui pemberita, beliau memberitahu, selain membaca satu juzuk al-Quran setiap hari, tiada jalan singkat untuk meraih kejayaan kecuali memberi tumpuan 100 peratus ketika pembelajaran berlangsung sama ada secara bersemuka atau dalam talian. 

“Walaupun jadual saya padat, saya tetap berusaha mencari waktu untuk mengaji al-Quran selain berpuasa pada hari peperiksaan dan mengamalkan memakan kismis setiap hari,” katanya di sini hari ini.

Kesemua anugerah tersebut bersama hadiah iringan disampaikan kepadanya dalam Majlis Ikrar dan Pendaftaran Ikhtisas Kedoktoran Veterinar Fakulti Perubatan Veterinar UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini.

Selain enam anugerah diterimanya Ahad lalu, anak kelapan daripada 10 beradik itu juga baru sahaja dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja UMK sempena Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-10 dan Ke-11 pada 20 November lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya