Guru Yayasan Islam Kelantan tolak vaksin kini ubah fikiran - Utusan Malaysia

Guru Yayasan Islam Kelantan tolak vaksin kini ubah fikiran

DR. IZANI Husin membantu petugas memberikan suntikan dos penggalak kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebilangan kecil guru di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang menolak vaksin Covid-19 sebelum ini, telah berubah fikiran dan bersetuju untuk menerima suntikan tersebut.

Perkembangan terkini itu menyaksikan kesemua tenaga pengajar YIK yang dianggarkan seramai 2,600 orang setuju untuk divaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, guru terbabit berubah fikiran selepas pertemuan dan sesi kaunseling yang dilakukan berhubung kebaikan vaksin.

“Saya lihat ini sesuatu yang positif, lebih-lebih lagi pemberian suntikan vaksin ini mengambil kira pendapat daripada pakar perubatan dan agama.

“Bagi guru Jabatan Pendidikan Negeri pula, kita akan serahkan kepada jabatan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat program suntikan dos penggalak vaksinasi Covid-19 kepada barisan hadapan di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Kira-kira 500 petugas barisan hadapan terdiri daripada Exco kerajaan negeri, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kelantan dan Jabatan Imigresen menerima dos penggalak hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Izani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, seramai 12,000 petugas barisan hadapan daripada kumpulan perubatan dan bukan perubatan di seluruh negeri sedang menerima suntikan penggalak.

“Pengambilan suntikan penggalak ini bertujuan memperkukuhkan lagi tahap imuniti badan petugas barisan hadapan yang sentiasa terdedah dengan penularan Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan seramai 135 orang atau kira-kira lima peratus daripada 2,600 tenaga pengajar sekolah-sekolah di bawah YIK belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) YIK, Shamsul Abu Bakar berkata, selain mengandung dan faktor kesihatan, terdapat guru yang belum disuntik vaksin belum tampil memberi penjelasan kukuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya