Gol awal babak kedua 'bunuh' semangat Perak - Utusan Malaysia

Gol awal babak kedua ‘bunuh’ semangat Perak

PEMAIN Terengganu, Lee Tuck (kiri) melepasi asakan dua pemain Perak dalam perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, malam kelmarin. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gol awal pada separuh masa kedua telah membunuh semangat Perak.

Kekecewaan itu disuarakan pengendali Perak FC, Shahril Nizam Khalil selepas pasukannya tewas 1-4 kepada Terengganu dalam saingan Kumpulan B, Piala Malaysia, malam kelmarin.

“Kami bermain dengan baik di separuh pertama dan berjaya menyekat Terengganu dan turut mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Bagaimanapun, gol awal gara-gara kesilapan sendiri merentap semangat pemain.

“Terengganu yang jauh lebih bagus daripada kami mengambil kesempatan untuk terus menghukum kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Terengganu mendahului melalui jaringan Faizal Halim pada minit ke-10 tetapi kelebihan itu dipadam oleh penalti, Sergio Aguero (m-23) untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga rehat.

Bagaimanapun, malang menimpa tuan rumah seminit perlawanan bersambung apabila pasukan pelawat memperoleh gol hasil kesilapan sendiri pemain benteng tuan rumah.

Gol tersebut nyata memberi kesan mendalam terhadap Perak apabila dihukum dua kali oleh Lee Andrew Tuck selepas itu.

“Gol awal dan beberapa kesilapan lagi selepas itu punca utama kami terus rebah,” tambah Shahril.

Dalam masa sama, beliau turut mengakui pasukan mudanya tidak punyai keupayaan untuk bangkit dan berharap anak-anak buahnya mempelajari sesuatu dalam kekalahan tersebut.

“Kami akan bertemu semula di Kuala Terengganu pada Rabu ini dan saya berharap pemain mampu bangkit untuk membuat perhitungan dengan Terengganu nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya