Gerai Ayaq Bancuh Berhantu jadi tumpuan selepas tular - Utusan Malaysia

Gerai Ayaq Bancuh Berhantu jadi tumpuan selepas tular

MESKIPUN bekerja sebagai juruteknik, Ahmad Zakir Azmi (kanan) turut meluangkan masa membantu para pekerjanya di gerai jualannya di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Sekali pandang, gerai makanan yang diusahakan pasangan suami isteri ini seperti tidak ada bezanya jika dibandingkan dengan gerai-gerai makanan lain yang ‘tumbuh bagai cendawan lepas hujan’ khususnya dalam kawasan Seberang Perai ketika ini.

Pun begitu, bagi sesiapa sahaja yang berpeluang singgah di gerai unik yang dinamakan Gerai Ayaq Bancuh Berhantu yang terletak di Jalan Kuala Bekah, Penaga itu, pastinya akan ‘rambang mata’ membuat pilihan juadah terbaik sebelum membeli.

Apa tidaknya, terdapat lebih 20 jenis juadah pencuci mulut seperti aneka kek cawan, pavlova, donut, cheese cake, nutella dan chocolate brownies‘, strudel dan sebagainya dijual di gerai berkenaan.

Menurut pemiliknya, Ahmad Zakir Azmi, 35, hampir kesemua menu pencuci mulut yang disifatkan eksklusif serta jarang dijumpai di gerai-gerai tepi jalan itu merupakan hasil ‘air tangan’ isterinya, Nurul Hidayah Mohd. Akhir, 34.

Pada masa sama katanya, pelbagai jenis makanan lain yang diusahakan penduduk setempat khususnya suri rumah termasuk kuih-muih tradisional, sushi, nasi, mi, bubur, makanan Barat serta buah-buahan segar yang dipek di dalam plastik turut dijual di gerai berkenaan.

“Gerai ini juga dikenali kerana menjual Ayaq Bancuh Berhantu yang unik seperti Teh Nang Nak, Kopi Orang Minyak, Milo Mak Lampir, Nescafe Kak Limah, Neslo Ju serta pelbagai minuman lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

AHMAD ZAKIR Azmi dan isteri (kiri) bersama pekerja serta penduduk setempat yang turut membantu menguruskan operasi gerai mereka di Kepala Batas, Pulau Pinang ketika bilangan pelanggan yang ramai.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ahmad Zakir yang seorang juruteknik berkata, dia dan isterinya memulakan perniagaan itu sejak tiga tahun lalu dengan menjual pelbagai pencuci mulut pada harga serendah RM1 selain menjual air minuman yang dibancuh mengikut cita rasa pelanggan.

“Kami beroperasi selama enam hari seminggu kecuali hari Rabu iaitu dari pukul 12.45 tengah hari hingga 6 petang dan Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat memuaskan.

“Selain penduduk setempat, ada pelanggan kami yang datang dari luar Pulau Pinang termasuk Taiping, Perak; Kuala Lumpur dan sebagainya semata-mata untuk mencuba keunikan juadah atau menu makanan yang jual ketika ini,” katanya yang memberitahu, jumlah itu bertambah selepas kisah gerai makanannya ditularkan oleh sebuah portal berkaitan makanan baru-baru ini.

Bapa kepada empat cahaya mata itu memberitahu, hasil jualan hariannya juga secara purata sangat memberangsangkan apabila mampu memperolehi antara RM4,000 hingga RM5,000 sehari ketika ini.

“Sebenarnya, ramai juga yang menawarkan diri khususnya untuk menjadi ejen yang menjual pencuci mulut yang kami hasilkan ketika ini.

“Bagaimanapun, saya dan isteri agak keberatan kerana mahu menjaga mutu serta kualiti makanan tersebut,” katanya yang juga berkebolehan sebagai seorang tukang masak.

Tambah Ahmad Zakir, buat masa ini, dia sedang berusaha menaik taraf gerai makanan tersebut selain cuba untuk memasarkan produk yang mereka hasilkan secara berperingkat-peringkat mengikut permintaan semasa.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya