SEREMBAN: Seorang ibu tunggal yang juga pembantu sebuah kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan wang tunai palsu bernilai RM100 di Telok Kemang, Port Dickson pada Ahad lalu.
Tertuduh, Zuraina Abdullah, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Diana Md Razali.
Mengikut pertuduhan, Zuraina yang mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun didakwa menggunakan mata wang palsu sebagai tulen iaitu sekeping duit kertas RM100 dengan nombor siri QD5566771 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai wang tersebut adalah palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah gerai baju di belakang tandas awam Telok Kemang, Port Dickson pada pukul 6 petang, 13 November lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Zuraina didapati menggunakan wang palsu RM100 itu untuk membeli pakaian iaitu sehelai baju dan seluar.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enteri Anak Mawan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan kes disebut semula 16 Disember ini. – UTUSAN ONLINE