PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital Kota Damansara, Nadiah Wan disenaraikan oleh Power Businesswomen 2021 Forbes Asia sebagai antara 20 pemimpin perniagaan wanita cemerlang di rantau Asia Pasifik.
Menurut Forbes, Nadiah, 37, yang memegang dua jawatan Ketua Pegawai Eksekutif adalah tokoh paling muda disenaraikan tahun ini.
Selain Thomson Hospital Kota Damansara jawatan yang dipegang sejak 2017, Nadiah, satu-satunya rakyat Malaysia yang disenaraikan tahun ini, adalah Pengarah Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences sejak 2019.
Wanita itu memperkenal pasukan petugas Covid-19 di hospital berkenaan dan melancarkan aplikasi mudah alih, menyediakan penjagaan pesakit menyeluruh dari jauh menerusi janji temu, saringan dan penilaian sehingga perkhidmatan rehabilitasi dan penghantaran ubat-ubatan.
Penutupan sempadan menjejaskan pelancongan perubatan dan unit kesuburan yang merangkumi 20 peratus pendapatan TMC, namun, syarikat itu masih meraih pendapatan RM201 juta meningkat enam peratus bagi tahun kewangan berakhir Jun, dengan keuntungan bersih meningkat 86 peratus kepada RM20 juta, terutama disebabkan liabiliti cukai tertangguh.
Pelan pengembangan TMC termasuk menggandakan kapasiti hospital kepada 600 katil dan menambah dua makmal kateter, 154 klinik pesakit luar, 11 suite penghantaran dan 10 bilik pembedahan.
Dalam pada itu, Pengarang Power Businesswomen 2021 Forbes Asia, Rana Wehbe Watson dalam satu kenyataan berkata, senarai itu mengiktiraf 20 pemimpin cemerlang yang berjaya mengadaptasi dan berkembang dalam industri seperti teknologi, penjagaan kesihatan, perbankan serta pembuatan.
Tambah beliau, semua ahli perniagaan wanita yang disenaraikan tahun ini adalah pendatang baharu, sekali gus memperluas lagi rangkaian tokoh terkemuka Forbes Asia di rantau ini.
Senarai lengkap 20 wanita berkenaan, berusia antara 30-an hingga 70-an di seluruh rantau Asia Pasifik boleh didapati di www.forbes.com/asiapowerbusinesswomen2021 dan Forbes Asia keluaran November. – UTUSAN ONLINE