GEORGETOWN: Penduduk di beberapa kawasan yang terjejas dengan fenomena air pasang besar di negeri ini, terpaksa berjaga sehingga awal pagi tadi berikutan paras air yang naik lebih tinggi berbanding semalam.
Mereka terdiri daripada penduduk yang tinggal di kawasan persiaran pantai dan kuala seperti di Lebuh Macallum, Telok Tempoyak di Batu Maung, Kampung Pulau Betong dan Kuala Sungai Pinang di Balik Pulau.
Rata-rata penduduk meluahkan kebimbangan dengan keadaan air laut yang dianggap luar biasa sehingga memasuki ruang rumah dan kawasan tempat meletak kereta sejak pukul 1 pagi.
Seorang penduduk di Kampung Pulau Betong, Mohd. Khalid Hassanudin, 53, berkata, dia terpaksa menahan mata sehingga pagi tadi memandangkan keadaan air semakin naik hampir satu meter di halaman rumah, dapur dan bilik tidur rumahnya.
Menurutnya, fenomena air pasang besar kali ini dianggap paling teruk disebabkan air dari kuala Pulau Betong melimpah hingga ke dalam ruang rumah penduduk.
“Kedudukan rumah saya hanya terletak di belakang kuala. Kali terakhir berlaku kejadian air pasang besar kira-kira tiga atau empat tahun lalu.
“Kali ini, saya terpaksa menerima hakikat kerana kejadian berlaku ketika saya sedang menjalani kuarantin akibat positif Covid-19 pada 1 November lalu.
“Saya kini tinggal seorang diri di rumah manakala isteri dan anak menetap sementara di rumah ibu saudara. Saya terpaksa redah air seorang diri,” katanya.
Sementara itu, situasi sama turut berlaku di tempat meletak kereta di Medan Selera Ikan Bakar di Telok Tempoyak.
Keadaan air naik hingga ke kediaman yang terletak berhadapan pantai dan turut disifatkan penduduk sebagai kejadian paling luar biasa. – UTUSAN ONLINE