SUNGAI PETANI: Sebanyak enam buah rumah di Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda dekat sini terjejas berikutan fenomena air laut pasang besar pada awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, rumah tersebut dinaiki air selepas paras air sedalam lebih kurang 0.1 meter melimpah di kampung tersebut.
Bagaimanapun, menurutnya, kejadian fenomena itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda awam.
“Sebanyak tujuh lokasi hotspot yang dikesan sebagai kawasan yang berpotensi terjejas iaitu di sekitar persisiran pantai dan sungai di Tanjung Dawai, Kota Kuala Muda serta Tikam Batu.
“Namun begitu, hasil pemantauan pada malam semalam dan awal pagi hari ini mendapati hanya satu kawasan sahaja yang dinaiki air namun tidak serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi lain yang terlibat kini dalam keadaan bersiap sedia dan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan awam terjamin di samping bantuan kepada individu yang terjejas.
“Kita juga ingin nasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menghentikan sementara waktu aktiviti-aktiviti di perairan pantai sepanjang tempoh fenomena ini berlaku bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE