PETALING JAYA : Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menjangkakan penganjuran Liga Super Wanita (WSL) pada edisi kedua akan mampu menarik lebih banyak pasukan menyertainya.
Keyakinan itu dinyatakan Setiausaha Agung FAS, Izrin Nabil Ismail berkata untuk edisi sulung sebanyak 10 pasukan akan bertanding bermula 29 November ini hingga 19 Januari tahun depan di Radia Arena, Bukit Jelutong.
Tambahnya, FAS menyasarkan peningkatan kepada 20 pasukan yang akan bertanding dalam dua peringkat pada tahun 2023.
“Untuk tahun ini sahaja, pelbagai pihak menunjukkan minat yang besar terhadap liga itu termasuklah agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi namun mereka tidak dapat bersiap sedia kerana kesuntukan masa, ditambah pula dengan cabaran pandemik Covid-19.
“Saya berpendapat komponen paling penting untuk bola sepak ialah liga. Apabila kita ada liga, semua akan berjalan lancar.
“Dengan usaha ini, kami harap lebih ramai wanita dan kanak-kanak perempuan akan menyedari bahawa mereka mempunyai platform untuk bermain dan menggunakan peluang ini untuk pergi lebih jauh.
“Mungkin ramai pemain berbakat yang belum dikenali akan dapat dilihat dan diintai. Kita juga berharap untuk mencungkil lebih ramai wanita dalam ekosistem bola sepak seperti pengadil, pegawai dan pentadbir,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dan undian WSL di sini, hari ini.
Tambah Izrin pemain musim ini secara purata berusia 24 tahun dan yang paling muda berusia 13 tahun, manakala paling senior berusia 34 tahun, sekali gus menyaksikan keseimbangan antara pemain muda dengan pemain berpengalaman, termasuk pelajar sekolah sukan.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Presiden FAS iaitu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sebelum ini, satu-satunya kejohanan bola sepak wanita di negara ini yang dibatalkan dua tahun berturut-turut ekoran pandemik Covid-19 ialah Piala Tun Sharifah Rodziah anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Undian pasukan bagi WSL adalah seperti berikut:
Kumpulan A: FC SWAT, UiTM FC, FIRST 11 FC, THE FOOTSOULS, RADIA LADIES FC
Kumpulan B: LEOPARD FC, MBSJ FC, SA UNITED FC, RHYM ROVERS, NSWFC