JOHOR BAHRU: Selepas memastikan gawangnya tidak dibolosi dalam dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Kedah, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias turun bersama keyakinan tinggi apabila bertandang ke Terengganu pada separuh akhir pertama malam ini.
Pemain berusia 35 tahun itu bertekad untuk memastikan gawang Harimau Selatan tidak dibolosi sepanjang tempoh 90 minit permainan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sekali gus membawa pulang kelebihan apabila aksi kedua berlangsung di Johor pada Jumaat ini.
Begitupun katanya, menentang Terengganu, satu-satunya pasukan yang pernah mengalahkan JDT musim ini tidak mudah, apatah lagi aksi pertama berlangsung di depan ribuan penyokong mereka.
“Terengganu pasukan yang baik tahun ini. Corak permainan mereka tidak jauh beza dengan JDT dan mereka mempunyai beberapa pemain berkaliber, berkemahiran tinggi serta lincah.
“Sudah tentunya kami ingin menang di sana dalam masa sama mengelak gawang dibolosi. Kita khuatir gol itu akan menghantui pasukan pada aksi timbal balik nanti,” katanya.
Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora berharap, jentera serangan Harimau Selatan menjadi lebih berbisa dan klinikal di hadapan gawang lawan pada perlawanan malam ini.
“Bertemu Terengganu di peringkat separuh akhir, ia akan menjadi perlawanan yang berbeza dan lebih sengit. Skuad skuad kendalian Nafuzi Zain bukan calang-calang dan memiliki ramai pemain yang boleh jaringkan gol.
“Kita juga perlu seperti itu dengan mempunyai sentuhan penyudah yang tajam di atas padang. Bukan mudah untuk menembusi benteng pertahanan lawan lebih-lebih lagi jika mereka berkampung di kawasan sendiri,” ujarnya.