Enam beradik kehilangan ibu akibat Covid-19, tumpang kasih nenek

Enam beradik kehilangan ibu akibat Covid-19, tumpang kasih nenek

MUHD. Afiq Ikhwan Muhd. Saifol (kiri) bersama tiga adiknya menunjukkan pakaian sekolah mereka sambil diperhatikan Che Gayah Hamzah (belakang, kiri) dan Siti Farahana Omar (belakang, kanan) di Kampung Teluk Nipah Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, semalam. – MINGGUAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Enam beradik yang hilang tempat bermanja selepas ibu mereka, Faridah Omar, 35, meninggal dunia akibat Co­vid-19, Ogos lalu kini menum­pang kasih dengan nenek dan ibu saudara mereka di Kampung Teluk Nipah, Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda di sini.

Walaupun kasih sayang ibu tiada gantinya, perhatian nenek, Che Gayah Hamzah, 69, dan emak saudara, Siti Farahana Omar, 31, membuatkan enam beradik itu dapat melupakan kesedihan bergelar anak yatim.

Bagaimanapun, lima beradik tersebut, Muhd. Afiq Ikhwan Muhd. Saifol, 15, Muhd Aidil Asraf, 14, Muhd. Syakir Safwan, 10, Muhd. Syafiq Haikal, 8, dan Muhd. Faris Iskandar, 6, kini tinggal bersama nenek dan ibu saudara mereka itu.

Sementara itu, adik bongsu, Muhd. Amsyar Hakimi, 4, pula dipelihara sejak kecil oleh seorang ahli keluarga mereka yang menetap di Taman Ria di sini.

Muhd. Afiq berkata, seminggu selepas kematian ibu, mereka bagaikan hilang arah terutamanya empat adiknya yang sukar menerima kenyataan.

Menurutnya, mereka juga me­rindui belaian ibu sepanjang hayatnya sebelum ini.

Pada masa sama, katanya, walaupun masih mempunyai bapa, namun hubungan mereka renggang selepas bapa dan arwah ibu tinggal berasingan kerana masalah rumah tangga.

“Kesedihan kami kehilangan ibu buat selama-lamanya mula terubat dengan keikhlasan ditunjukkan nenek dan ibu saudara dalam menjaga kami dan kini lebih bersemangat untuk terus hidup,” katanya semasa ditemui di rumah neneknya di Kampung Teluk Nipah, Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, di sini semalam.

Muhd. Afiq memberitahu, nenek dan ibu saudaranya menyediakan keperluan harian mereka termasuk persediaan untuk sesi persekolahan yang telah bermula minggu lalu.

“Syukur, keprihatinan nenek dan ibu saudara terhadap kebajikan kami selama ini, membuatkan saya dan adik-adik bersemangat semula untuk meneruskan kehidupan walaupun sekadar menumpang kasih sayang.

“Malah nenek juga berjanji mahu membesarkan kami dengan kudratnya, selain tidak akan memisahkan kami adik-beradik walaupun kehidupannya dihimpit kesusahan,” katanya.

Muhd. Afiq belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda manakala Muhd. Aidil di SMK Tok Labu, Penaga, Puau Pinang dan tiga adiknya yang lain belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kecil di sini.

Episod duka enam beradik itu bermula apabila ibu mereka, Faridah yang bekerja sebagai seorang operator di sebuah kilang di Pulau Pinang membuat ujian saringan di sebuah klinik swasta pada Sabtu 31 Julai lalu selepas demam.

Keputusan ujian itu positif Covid-19 dan sejak itu, ibu mereka hilang selera makan sebelum mengalami sesak nafas, sakit dada dan pening yang teruk.

Dua hari kemudian ibu malang itu telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini selepas kesihatannya semakin merosot dan keadaannya semakin kritikal ketika menerima rawatan di ICU.

Faridah kemudiannya meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi Selasa, 3 Ogos lalu akibat Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya