PETALING JAYA: Empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan yang dijangka beroperasi pada 2026 bakal menyelesaikan isu air yang dihadapi penduduk setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Baharin Din berkata, pembinaan empangan itu bukan sahaja menyokong aspirasi kerajaan, malah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Menurutnya, empangan Nenggiri bakal memberi manfaat tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh dan air ditakung dalam tasik takungan utamanya dilepaskan semula secara terkawal ke dalam Sungai Nenggiri.
Katanya, langkah itu dapat membantu mengawal banjir di hilir empangan berkenaan.
“Selain membantu mengurangkan banjir, ia berupaya membantu Kerajaan Negeri Kelantan mengatasi isu pembekalan air bersih serta pengairan untuk pertanian dan membuka peluang pekerjaan ketika pembinaannya serta mewujudkan peluang ekonomi baharu di tasik takungan utamanya.
“Seperti dibuktikan di Tasik Banding di Perak (Empangan Temengor) dan Tasik Kenyir di Terengganu (Empangan Sultan Mahmud), penduduk setempat meraih manfaat ekonomi terutama dari sektor pelancongan, rekreasi, pertanian, perniagaan kecil serta pembangunan prasarana,” katanya.
Pada 2 November, majlis pertukaran dokumen perjanjian projek itu serta penyerahan cek pampasan berlansung di Pejabat Menteri Besar Kelantan dan disaksikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Baharin.
Baharin berkata, projek itu menyokong aspirasi tenaga lestari TNB menuju ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050 yang dipacu oleh komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50m peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035 dan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga hijau negara kepada 40 peratus pada tahun itu.
“Ini adalah satu amanah kepada TNB daripada rakyat untuk menjaga alam sekitar. TNB sudah membuat kajian dan mendapat kelulusan yang diperlukan seperti Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial, Kajian Impak Warisan, dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, komuniti Orang Asli turut terlibat secara langsung khususnya dari Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kg. Wias yang dipindahkan ke penempatan baharu dengan infrastruktur dan keperluan asas yang lebih baik dan selesa.
“Mereka juga diberikan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan sosioekonomi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE