ALOR SETAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini meluluskan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah bagi menurunkan kelayakan usia daripada 21 kepada 18 tahun untuk individu bertanding sebagai calon di kerusi DUN pada pilihan raya.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah itu adalah selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini yang menurun umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang diluluskan 2019.
“Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah ini dipinda untuk memberi ruang atau membenarkan dari segi undang-undang kepada warganegara berusia 18 tahun boleh menjadi calon bagi DUN Kedah dan undang-undang ini telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara dalam talian selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Persidangan DUN tersebut bermula pada Ahad lalu dan berakhir hari ini.
Terdahulu pada sesi perbahasan, Datuk Phahrolrazi Zawawi (PH-Alor Mengkudu) berkata, sejajar dengan pindaan tersebut golongan belia perlu didedah dan diberi kefahaman di peringkat persekolahan mengenai sistem politik dan pemerintahan yang diamalkan di negara ini.
“Dalam pendidikan atau subjek di sekolah, sebelum pelajar itu meninggalkan alam persekolahan mesti diterangkan dalam subjek mengenai sistem negara demokrasi dan raja berperlembagaan bagi memberi kefahaman politik negara, kalau tidak mereka tidak faham dan mengundi ikut suka,” katanya.
Sementara itu, Datuk Zamri Yusuf (PH-Suka Menanti) berkata, pindaan itu akan memberi peluang golongan belia khususnya berusia 18 hingga 20 tahun untuk menjadi ADUN dan terlibat dalam menentukan perkara-perkara berkaitan dengan mereka.
“Ketika ini banyak urusan dan kepentingan sama ada di peringkat negeri atau negara berkaitan dengan golongan belia berusia 18 tahun ke atas, bagi saya kelayakan ini memberi keadilan kepada mereka untuk turut serta dan saya harap pindaan ini diwartakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.