PORT DICKSON: Tiga lelaki maut termasuk dua orang warganegara Pakistan dalam nahas membabitkan dua buah motosikal di Kilometer 4, Jalan Chuah-Bukit Pelandok pada pukul 7 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang warga tempatan dan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki dua orang warganegara Pakistan.
“Hasil siasatan awal, sebelum kejadian dipercayai penunggang motosikal Honda Wave bergerak dari arah Lukut menghala ke Bukit Pelandok manakala motosikal kedua datang dari arah bertentangan.
“Sampai di lokasi kejadian kedua-dua buah motosikal bertembung secara berhadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal Honda Wave dikenali sebagai P. Daneshwaran, 22, yang beralamat di Taman Bahagia, Sepang, Selangor mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di Wad Kecemasan, Hospital Port Dickson.
Jelas beliau, penunggang motosikal Modenas Kriss, pula dikenali sebagai Usman Muhammad, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala pemboncengnya, Hassan Ahmad, 29, meninggal dunia di hospital yang sama.
Menurut Aidi Sham, mayat semua mangsa berada di Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut diteruskan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.