JOHOR BAHRU: Dua warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan cuba memberi rasuah RM3,000 kepada anggota polis supaya melepaskan mereka selepas ditahan melakukan aktiviti penangkapan gamat di Pulau Rawa, Mersing, Mac lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan tertuduh, Vo Minh Ly, 40; dan Le Phuc Thuong, 20, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail.
Justeru, mahkamah menetapkan 24 November ini untuk melantik jurubahasa bagi membacakan pertuduhan terhadap kedua-dua mereka.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa cuba memberi suapan kepada Pegawai Memerintah Markas Taktikal, Pasukan Polis Wilayah Dua Mersing, Inspektor Rosli Md. Saad supaya tidak mengambil tindakan terhadap mereka.
Kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan tersebut di perairan Pulau Rawa pada pukul 5.50 petang, 8 Mac lalu.
Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) dan Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.