SEREMBAN: Penggunaan dialek atau loghat Negeri Sembilan harus dimartabat bagi meningkatkan jati diri seterusnya diperluaskan sebagai salah satu daya tarikan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap negeri mempunyai keunikan dan dialek tersendiri seperti Negeri Sembilan yang dipengaruhi Adat Perpatih.
“Penguasaan masyarakat negeri ini dalam dialek Negeri Sembilan amat baik dan dalam masa sama bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu tidak dilupakan.
“Contohnya dalam penyiaran stesen radio NegeriFM terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), dialek Negeri Sembilan digunakan secara meluas dan diterima ramai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau sebelum itu melancarkan Majlis Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2021 di Perpustakaan Negeri di sini.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik.
Menurut Aminuddin, jika dahulu, dialek Negeri Sembilan hanya popular di daerah-daerah tertentu seperti Kuala Pilah, Rembau, Tampin dan Jelebu tetapi kini ia meluas di kawasan lain.
“Sekarang, dialek ini telah digunakan di Port Dickson serta Seremban dan sebagai rakyat Negeri Sembilan kita perlu berbangga mempunyai dialek sendiri.
“Walaupun dialek ini digunakan secara tidak formal namun masyarakat pelbagai bangsa termasuk Cina dan India menerima serta mampu menguasai dialek Negeri Sembilan dengan baik,” kata beliau.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengingatkan masyarakat terutama anak-anak muda supaya memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul supaya tidak hilang jati diri sebagai rakyat Malaysia.
“Jika kita bertekad menjadikan Malaysia sebagai negara maju maka bahasa Melayu perlu diberikan nilai ekonomi dan komersial seiring dengan kemajuan negara.
“Selain itu, bahasa kebangsaan merupakan pemangkin utama dalam mewujudkan perpaduan di negara ini yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum,” katanya.
Jelas beliau, tidak salah menguasai bahasa negara lain tetapi jangan sesekali melupakan bahasa Melayu yang menjadi simbol kemegahan Malaysia.