JOHOR BAHRU: Sebanyak RM451,000 denda telah dikenakan kepada pihak yang membuang sampah di tempat pembuangan sampah haram di seluruh negeri Johor sejak lima tahun lalu.
Pengarah SWCorp Negeri Johor, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, sebanyak 237 tempat pembuangan sampah haram telah dikenal pasti termasuk 55 lokasi daripadanya dikesan masih berlaku kegiatan terbabit.
“Pesalah-pesalah ini sekiranya kita tutup satu kawasan dia akan pergi ke kawasan baharu atau membuka kawasan baharu.
“Jadi daripada 55 lokasi itu memang kita sentiasa membuat operasi intip dan cekup dan membuat operasi payung dan akan menasihati mereka, dan sekiranya mereka berulang melakukan pembuangan mereka akan didakwa,” katanya pada sidang akhbar Program Clean & Clear – Ops Sampah Haram di Jalan Ulu Tiram Johor Bahru Taman Desa Cemerlang di sini.
Turut hadir pada program tersebut Pengurus Kawasan Servis Johor Selatan 1, SWM Environment Mohd. Nur Izham Ahmad, Ahli Majlis MBJB Zon Desa Cemerlang Norizam Shah Mohd Yunus dan Wakil Penduduk Taman Desa Cemerlang Han Anthony Dicken.
Menurut Cairul jumlah kertas siasatan yang telah dibuka sebanyak 56 dan telah didakwa di mahkamah sebanyak 27 kes yang telah diselesaikan dengan jumlah denda yang dikenakan sebanyak RM451,000.
“Denda yang tertinggi untuk satu kesalahan yang telah direkodkan sebanyak RM30,000 pada bulan September lalu dan pesalah telah didakwa dan didenda.
“Kawasan PBT Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang merupakan kawasan pengulangan pembuangan sampah haram yang berulang dan baharu kerana pembangunan pesat dengan 60 peratus merupakan bahan binaan,” jelasnya lagi.
Sementara itu, menurut Cairul program pengasingan sisa pepejal di rumah dalam tempuh lima tahun sebanyak 250,000 premis telah dibuat semakan melibatkan hampir 1,000 operasi yang telah dilaksanakan.
Daripada jumlah itu sebanyak 167 kertas siasatan telah dibuka bagi pesalah-pesalah yang tidak melaksana dan mengasingkan sisa pepejal dirumah. – UTUSAN