BUTTERWORTH: Dedaun kering dan bulu burung antara objek yang ditemukan di dalam tong perapan kacang soya di sebuah kilang pemprosesan kicap yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu.
Lebih menjijikkan, tong gentian kaca yang digunakan untuk memproses perapan juga didapati sudah terlalu buruk ekoran faktor cuaca.
Menerusi Op Bersih yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), pemilik kilang juga dipercayai cuba menjimatkan kos dengan mengitar semula botol kicap tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
PEMERIKSAAN di sebuah kilang kicap di Pulau Pinang.
Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, hasil pemeriksaan mendapati, tong gentian kaca yang digunakan sejak 20 tahun lalu mulai mereput ekoran berada di tempat terbuka selain sudah terdedah lama kepada cahaya matahari.
“Kita turut menemukan daun dan bulu binatang, malah tidak mustahil najis burung pun boleh termasuk semasa pemerapan kacang soya.
“Selain itu, pihak kilang turut menggunakan botol kitar semula tetapi cara pembersihan hanya dibuat secara manual dan tahi cicak turut ditemukan atas pelapik penutup botol.
“Lebih membimbangkan, kita dapati terdapat kulat di atas pelapik pengering kacang soya yang dikhuatiri boleh menyebabkan keracunan makanan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam serbuan sama, sebuah kilang roti di Raja Uda dekat sini turut dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat dulang roti yang kotor dan berkerak malah turut dipenuhi tahi tikus.
PEMERIKSAAN Jabatan Kesihatan Pulau Pinang pada dulang roti yang kotor dan berkerak mal;ah dipenuhi tahi tikus.
“Secara keseluruhannya, sebanyak sembilan kompaun berjumlah hampir RM9,000 dikeluarkan ke atas kedua-dua premis atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, kita juga menutup kedua-dua premis terbabit selama dua minggu bermula hari ini mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.