PETALING JAYA: DAP meletakkan dua calon baharu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, 20 November ini.
Bercakap semasa sidang media PRN Melaka di ibu pejabat DAP hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kedua-dua calon tersebut ialah Muhamad Danish Zainudin, 25, yang akan bertanding di DUN Pengkalan Batu manakala Leng Chau Yen, 37, bertanding di DUN Bandar Hilir.
Pengkalan Batu sebelum ini disandang oleh Datuk Norhizam Hassan Baktee pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun berpaling tadah kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (PN) yang juga punca kejatuhan kerajaan negeri Melaka selepas menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (UMNO).
DUN Bandar Hilir pula sebelum ini disandang oleh Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.
Mengulas lanjut, kata Guan Eng, DAP juga mengekalkan calon sedia ada di lima kerusi DUN iaitu Gadek, G. Saminathan; Ayer Keroh (Kerk Chee Yee); Kesidang (Allex Seah Shoo Chin); Kota Laksamana (Low Chee Leong); Duyong (Damian Yeo Shen Li).
Bagaimanapun, Kok Kiew yang akan bertanding di Bemban menggantikan penyandang sebelumnya, Dr. Wong Fort Pin.
Fort Pin pula tercicir daripada disenarai bertanding dalam pilihan raya namun tidak dijelaskan sebab beliau tidak dicalonkan.
Dalam sidang media berasingan di Melaka hari ini, kata Fort Pin, beliau akan terus berusaha menggunakan segala daya upayanya untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) menerajui tampuk pimpinan kerajaan negeri walaupun tidak dicalonkan dalam pilihan raya nanti.
“Saya akan usaha buat sedaya upaya dalam kuasa saya dan saya pun rela kerana saya mahu orang muda untuk menyertai dalam negara kita. Transformasi bukan lima bulan, lima tahun tapi saya rasa untuk negara kita buat transformasi mungkin 50 tahun.
“Sesiapa pun saya harap dan ramai calon nama-nama mereka kalau tak dapat, janganlah buat sesuatu yang jatuhkan parti sendiri atau PH berterusan sebab ini adalah the battle of the century.
“Sebab apa yang terjadi di Melaka, keputusan di Melaka ada satu sampel yang akan mendorong seluruh negara, saya harap semua orang yang sokong PH akan keluar mengundi ramai-ramai supaya satu undi pun tidak berkurangan kerana ini adalah cabaran besar dan juga kesannya akan berterusan kepada kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE