Dana 1MDB GIL dilaburkan ke tempat lain - Saksi - Utusan Malaysia

Dana 1MDB GIL dilaburkan ke tempat lain – Saksi

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan ke-12 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu, dana yang sepatutnya dilaburkan ke dalam syarikat Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC) disalurkan ke tiga syarikat pelaburan atas arahan Datuk Seri Najib Razak.

Pelaburan ke syarikat pelaburan itu dilakukan dalam tempoh 24 jam selepas wang sebanyak AS$2.71 bilion dimasukkan ke dalam akaun 1Malaysia Development Berhad Global Investments Limited (1MDB GIL).

“Sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO), tujuan utama kutipan dana (fundraising) sebanyak AS$3bilion dibuat untuk usahasama ADMIC namun memandangkan dana tersebut telah digunakan bagi tujuan lain sewal 24 jam selepas dana diterima, saya percaya usahasama ADMIC tersebut adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan bagi memastikan bon dapat diterbitkan secara sah,” kata Azmi Tahir di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Tambahnya, dana hampir AS$3 bilion itu juga langsung tidak digunakan untuk pelaburan hartanah dan pembangunan Bandar Malaysia sebagaimana yang dirancangkan 1MDB sebelum ini.

Azmi yang merupakan bekas CFO 1MDB berkata demikian ketika memberikan keterangan buat kali pertama di mahkamah hari ini pada perbicaraan kes Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Terdahulu, lelaki berusia 48 tahun itu memberitahu mahkamah, dia mula menyertai 1MDB secara rasmi pada 1 Jun 2012 dengan gaji di antara RM40,000 hingga RM45,000 sebulan.

Menurut Azmi, selepas dana AS$2.71bilion (baki selepas ditolak caj-caj perkhidmatan oleh bank Goldman Sachs) dimasukkan ke dalam akaun 1MDB GIL, dia telah diminta oleh Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias untuk menandatangani dokumen bank bagi membolehkan pemindahan wang tersebut kepada tiga syarikat pelaburan (fund company).

Tiga syarikat dana itu ialah Cistenique Investment Fund B.V (Cistenique), Devonshire Capital Growth Fund (Devonshire) dan Enterprise Emerging Market Fund (Enterprise) yang dilantik bagi menguruskan dana dan pelaburan 1MDB secara telus.

Saksi itu bagaimanapun tidak mengetahui bahawa dana yang dimasukkan ke syarikat-syarikat tersebut telah dipindahkan pula kepada Tanore Finance Corporation dan Granton Property Holding Limited.

“Saya dan Hazem (Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abd. Rahman) hanya dimaklumkan mengenai wang pelaburan kepada tiga dana sahaja iaitu Cistenique, Devonshire dan Enterprise sahaja. Saya sahkan saya ada menurunkan tandatangan di atas beberapa dokumen yang mengesahkan pihak 1MDB mengambil maklum di atas pelaburan di dalam tiga dana ini.

“Mengenai pindahan wang ke pihak ketiga iaitu Tanore Finance Corporation (Tanore) dan Granton Property Holdings (Granton), saya langsung tidak mengetahui mengenai hal ini tetapi apa yang saya tahu adalah berdasarkan laporan-laporan media,”katanya.

Tambah Azmi, dia juga tidak pernah membenarkan mana-mana pihak untuk membuat pelaburan kepada pihak lain termasuk ke akaun peribadi Najib.

Selain itu, dia juga hanya mengetahui kewujudan dokumen-dokumen berkaitan nota perjanjian janji hutang (promissory note) di antara Cistenique, Devonshire dan Enterprise dengan Tanore dan Granton selepas ditunjukkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewaktu siasatan skandal penyelewengan 1MDB itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 15 November ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN