CZBUCG tidak patut dilantik laksanakan projek terowong, jalan utama Pulau Pinang - Bekas SUK - Utusan Malaysia

CZBUCG tidak patut dilantik laksanakan projek terowong, jalan utama Pulau Pinang – Bekas SUK

FARIZAN Darus hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) tidak sepatutnya dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang kerana syarikat itu terlebih dahulu terlibat dalam rangka penyediaan permohonan kertas cadangan (RFP) yang dikeluarkan.

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, syarikat kontraktor itu telah diarah mengambil beberapa langkah termasuk meminda dokumen dan mengembalikannya dalam tempoh seminggu, sekali gus mencerminkan penglibatannya secara langsung dalam draf RFP.

Beliau yang kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. berkata, perkara tersebut tidak pernah dimaklumkan kepada Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang yang ketika itu dipengerusikannya.

Menurut Farizan, 62, pihak luar dibenarkan terlibat dalam penyediaan RFP dengan syarat ia tidak terlibat dalam perolehan tender supaya berlaku adil kepada pembida-pembida lain yang juga berkelayakan.

Menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, berdasarkan kepada memorandum persefahaman (MoU) dan minit-minit mesyuarat terdahulu seolah-olah menunjukkan syarikat berkenaan diberi keutamaan walhal dasar kerajaan negeri adalah perolehan diberikan secara tender terbuka.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Farizan selanjutnya memberitahu, jika perkara itu dimaklumkan kepada Lembaga Perolehan negeri, beliau perlu melaksanakan arahan Perbendaharaan bahawa lembaga boleh memutuskan projek itu ditender semula.

Beliau juga boleh mengesyorkan cara perolehan lain jika didapati tata cara yang dilakukan tidak mengikut peraturan atau mengesyaki perkara luar aturan berlaku.

Jelasnya, jika lembaga perolehan dimaklumkan, pihaknya tidak akan membuat keputusan seperti yang telah diambil, sebaliknya menawarkan projek itu secara terus kepada CZBUCG kerana penglibatannya lebih daripada yang terkandung dalam MoU yang dimeterai.

Menurut Farizan, penglibatan CZBUCG dalan penyediaan draf RFP telah menimbulan konflik kepentingan dengan empat pembida lain kerana pastinya kelebihan akan memihak kepada syarikat itu menjadikan lebih kehadapan dalam penyediaan dokumen.

Jelas saksi, terdapat tiga cara perolehan kerajaan iaitu melalui tender terbuka (diiklankan secara terbuka agar pembida yang layak mengambil bahagian), tender pilihan (pembida dipilihan berdasarkan kriteria tertentu) dan tawaran terus (kontraktor yang berkemahiran ditawarkan).

Berhubung projek terowong dasar laut dan jalan utama negeri, Farizan menjelaskan, kaedah yang diguna pakai ialah tender terbuka melibatkan pra kelayakan ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, projek itu bernilai berbilion ringgit dan memerlukan kontraktor yang benar-benar berkemahiran, mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta berpengalaman.

Menurut Farizan, CZBUCG ketika itu dipilih berbanding empat pembida lain selepas syarikat itu memperoleh markah tertinggi iaitu 93 peratus berbanding syarikat kedua tertinggi iaitu 77 peratus.

Jelas saksi, oleh kerana projek tersebut merupakan projek mega Lembaga Perolehan negeri berpendapat, kerajaan negeri perlu dimaklumkan berhubung implikasi kewangan, perkara berkaitan kutipan tol dan pemberian tanah sebelum dilaksanakan.

Ketika prosiding berlangsung, peguam Gobind Singh Deo yang mengetuai pasukan pembelaan mengkritik cara Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengendalikan pendakwaan dengan merujuk istilah `pendakwaan oleh pihak media’ yang didakwanya bertujuan memburukkan imej Guan Eng.

Gobind membantah cara pihak pendakwaan mengemukakan soalan lisan yang didakwanya bertujuan menjadikan perbicaraan itu sebagai tajuk muka hadapan akhbar.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin menafikan beliau mensensasikan perbicaraan itu kerana mahkamah yang mendengar keterangan saksi-saksi dan membuat keputusan terhadap tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN