Covid-19: SK Cyberjaya waspada - Utusan Malaysia

Covid-19: SK Cyberjaya waspada

ABDUL KARIM MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sesi petang Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya dekat sini, ditutup bagi menghentikan penularan pandemik Covid-9 bermula Rabu lalu hingga Isnin ini berikutan terdapat sembilan kes positif iaitu tujuh murid dan dua guru di sekolah tersebut.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Cyberjaya, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, sekolah itu ditutup sebagai usaha Kementerian Pendidikan menghalang penularan pandemik daripada meningkat.

Kata beliau, penularan pandemik itu bukan terjadi di dalam kawasan sekolah tetapi berpunca daripada aktiviti-aktiviti luar yang dilakukan oleh warga sekolah tersebut, namun pihak pentadbiran mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup sekolah untuk proses sanitasi di dalam kawasan pendidikan.

“Terdapat sebilangan besar guru sesi petang menjalani kuarantin kendiri dan meninggalkan 22 guru yang masih bertugas. Murid-murid juga diperintah menjalani isolasi itu di rumah dan tiada yang dimasukkan ke hospital. Isnin ini mereka akan menghadiri sekolah semula selepas tamat tempoh kurantin itu.

“Murid-murid itu tetap melakukan aktiviti pendidikan melalui proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), jadi tiada isu peninggalan silibus terjadi disebabkan penutupan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Karim berkata, pihak tidak bertanggung jawab yang menyebarkan berita tidak sahih mengenai kluster SK Cyberjaya perlu berhenti berbuat demikian kerana ia hanya menimbulkan perasaan bimbang dalam kalangan ibu bapa.

“PIBG meminta ibu bapa bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi kerana berita yang tular adalah tidak betul. Pastikan mendapat  informasi daripada laman web sekolah atau PIBG sahaja.

“Saya juga memohon ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah jika sedang menunggu keputusan ujian calitan  kerana bimbang jika keputusan itu positif menyebabkan situasi ini berlaku sekali lagi,” katanya.

Tambahnya, terdapat ibu bapa yang mengambil inisiatif sendiri dalam memastikan keselamatan anak mereka semasa berada di dalam sekolah terjamin.

“Terdapat sebilangan ibu bapa yang membeli kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) dan dibuat sebelum menghantar anak mereka ke sekolah, malah keputusan dikongsi oleh mereka di dalam aplikasi WhatsApp,” ujarnya.

Jelasnya, PIBG dan pihak pentadbiran sekolah sudah melakukan mesyuarat dan mencapai solusi untuk memastikan keselamatan murid-murid terjaga.

Sementara itu, terbaharu, seorang guru sekolah tersebut disahkan positif semalam menjadikan jumlah guru yang dijangkiti sebanyak tiga orang dengan jumlah 11 kes berlaku. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN