SHAH ALAM: Gelombang baharu pandemik Covid-19 tidak mustahil terjadi berikutan pergerakan bebas orang ramai dan ditambah dengan dakwaan berlaku penurunan kadar imuniti dalam kalangan individu yang sudah lebih enam bulan mengambil vaksin.
Faktor pergerakan bebas orang ramai seperti pergi bekerja dan bercuti turut dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kes sekiranya terdapat individu yang tidak menyedari dijangkiti kerana tidak mengalami simptom.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, terdapat trend peningkatan jangkitan yang disumbang oleh kedua-dua faktor berkenaan.
“Baru-baru ini, saya tengok data, macam naik sedikit. Kita takut trend ini terus meningkat. Ini adalah disebabkan oleh kerana tahap imuniti badan menurun selepas dua dos. Dos pertama diambil dalam bulan Mac, kemudian dos kedua, sekarang pula sudah lebih enam bulan.
“Jadi, dalam kalian dilihat memang antibodi akan menurun. Bila antibodi menurun, kita juga berisiko mendapat jangkitan Kalau kerajaan sudah mulakan dos penggalak, bagi mereka yang keluar bekerja eloklah ambil,” katanya selepas melancarkan Talian Selamat Hotline Keganasan Rumah Tangga, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai jangkaan gelombang baharu yang didakwa bakal tercetus pada Disember ini dan menasihatkan orang ramai terutama golongan komorbid mengambil dos penggalak apabila terdapat kemungkinan penularan varian lain.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman memaklumkan sebanyak 92 peratus atau 1,286 katil hospital di seluruh negeri ini sedang digunakan bagi merawat pesakit wabak Covid-19 bukan kritikal setakat Khamis lalu.
Kapasiti penggunaan unit rawatan rapi (ICU) pula meningkat kepada 80 peratus setakat Khamis lalu apabila 203 katil di unit itu sedang digunakan dan 86 pesakit Covid-19 ditempatkan di sana.
Sementara itu, beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang memberitahu, kerajaan negeri memberi tumpuan lebih besar kepada kesihatan awam seperti pencegahan dan pendidikan menerusi perancangan dalam Belanjawan Selangor 2022 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Jumaat ini.
“Dalam kesihatan awam, apa yang kita hendak tidak mahu sesuatu penyakit itu meledak misalnya Covid-19. Untuk Covid-19 memang kita sediakan pemantauan dalam masyarakat termasuk wujudkan sukarelawan kesihatan dan terus latih mereka untuk menjadi benteng pertama.
“Kalau ada masalah kesihatan dalam masyarakat, mereka boleh hubungi sukarelawan. Sukarelawan juga akan berjumpa dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk bentuk jaringan antara sukarelawan dengan doktor dalam JKNS,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE