MELAKA: Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas ditutup selama 14 hari bermula hari ini selepas dikesan terdapat kes positif Covid-19 di lokasi berkenaan.
Notis penutupan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dilihat ditampal di bilik gerakan calon PN di kerusi itu, Datuk Rafiq Naizamohideen dengan tertera tarikh kuatkuasa bermula hari ini sehingga 26 November depan.
Pemberita turut dimaklumkan, premis berkenaan turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas dikesan gagal menyediakan alat pengimbas suhu badan.
Selain notis penutupan, KKM turut mengeluarkan notis arahan meminta pengurusan premis mengenal pasti kontak rapat kes berkenaan dan maklumat perlu diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
“Sebarang kehadiran atau aktiviti berkaitan parti di premis yang diarahkan tutup, tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran Pengarah Kesihatan Negeri Melaka,” kata notis terbabit. – UTUSAN