Covid-19: 1,003 majikan henti operasi, 12,231 hilang kerja - Utusan Malaysia

Covid-19: 1,003 majikan henti operasi, 12,231 hilang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kira-kira 1,003 majikan di seluruh Johor direkodkan menutup dan menghentikan operasi masing-masing selepas terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 739 majikan menutup operasi sepanjang tahun lalu manakala baki selebihnya pada tahun ini.

Dalam tempoh sama, seramai 12,231 pekerja tempatan terkesan atau diberhentikan termasuk dalam kalangan mereka yang terlibat dengan penutupan operasi majikan masing-masing. 

“Berdasarkan laporan pemberhentian pekerja oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor, seramai 9,512 pekerja tempatan hilang pekerjaan pada 2020 dan pada tahun ini pula sejumlah 2,719 pekerja tempatan  hilang pekerjaan sehingga kini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di sini hari ini.

Terdahulu, ketika sesi soalan-soalan lisan, Mohd. Izhar memaklumkan, lebih 6,000 peluang pekerjaan ditawar dan disediakan bagi golongan pencari kerja, penganggur mahupun mereka yang diberhentikan pekerjaan. 

“Namun begitu hanya seramai 533 individu sahaja yang berjaya mendapat pekerjaan melalui pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Johor, Program Gerak Kerjaya Johor dan hebahan jawatan kosong di platform media sosial jabatan,” katanya menjawab pertanyaan Md. Ysahrudin Kusni (PH-Bukit Naning).

Tambah beliau, seramai 27,410 orang tenaga kerja tempatan juga berjaya mendapat pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 15 Jun 2020 sehingga 5 November lalu.

Sejumlah 25,221 pekerja tempatan lain pula telah menghadiri program latihan di bawah inisiatif tersebut bagi tempoh sama. 

Sementara itu, terdapat 40,149 kekosongan jawatan ditawarkan di Johor sehingga 29 Oktober lalu merangkumi 17,881 kekosongan bagi sektor pembuatan dan 5,081 jawatan kosong di sektor penginapan diikuti 2,965 kekosongan dalam sektor pengangkutan.

“Sektor khidmat sokongan menawarkan kekosongan jawatan sebanyak 2,863 manakala sejumlah 2,577 kekosongan jawatan ditawarkan bagi sektor pemborong dan peruncitan.

“Manakala, sebanyak 2,499 kekosongan jawatan ditawarkan bagi sektor profesional seperti setiausaha, kerani dan pembantu akauntan selain jawatan kosong dalam sektor-sektor lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya