GEORGETOWN: Minyak masak paket bersubsidi yang menjadi rebutan setiap kali musim perayaan didakwa berkurangan di negeri ini menjelang Deepavali.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subarrow berkata, tinjauan CAP di 12 kedai runcit di kawasan pulau mendapati tiada kedai yang mempunyai bekalan minyak masak paket.
“Minyak masak paket mengalami kekurangan menjelang Deepavali dan ini menyukarkan keluarga yang berpendapatan kecil untuk membeli minyak masak di dalam botol yang mahal.
“Apabila CAP meninjau keadaan di kedai-kedai, peniaga menjawab mereka tidak lagi mempunyai stok atau ejen belum menghantarnya ,” katanya di sini hari ini.
Menurut Subbarow, kebanyakan suri rumah yang menyambut Deepavali pada 4 November ini akan membeli dan menggunakan minyak masak paket untuk memasak.
“Pekedai memaklumkan ejen hanya membekalkan 30 bungkus plastik minyak masak kepada mereka dan akan habis dibeli pelanggan dalam tempoh sehari,” katanya.
Subbarow berkata, semasa perayaan seperti Deepavali, pihak berkuasa berkenaan harus mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan bekalan minyak masak paket mencukupi untuk kegunaan orang ramai.
“Kerajaan mesti sedar dalam situasi Covid-19 sekarang, ramai tidak berkemampuan untuk membeli minyak masak botol dengan harga lebih tinggi.
“Jangan hadkan hanya 30 peket minyak masak paket kepada pekedai, jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang Deepavali ini,” katanya. – UTUSAN