Cadangan naikkan had umur persaraan penjawat awam perlu kajian menyeluruh - Utusan Malaysia

Cadangan naikkan had umur persaraan penjawat awam perlu kajian menyeluruh

MOHD. Khairul Adib (dua, dari kiri) bersama Razali (kanan) menyerahkan sijil bersara wajib kepada Mohd. Nor Mohd. Yusof dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kepada Pengurus Sumber Manusia Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melihat secara menyeluruh segala aspek berhubung cadangan untuk menaikkan had umur persaraan penjawat awam daripada usia 60 tahun ketika ini. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, cadangan itu perlu dilihat secara holistik termasuk mengambil kira terdapat setengah juta graduan yang menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) setiap tahun. 

“Memang ada cadangan daripada Bank Dunia untuk menaikkan had usia persaraan secara berperingkat berdasarkan tahap kesihatan yang semakin baik dan masih ramai yang boleh berkhidmat selepas umur 60 tahun.

“Cadangan itu akan dilihat semula, bagaimanapun ia terpulang kerana terdapat setengah juta pelajar yang keluar daripada IPT setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Pengurus Sumber Manusia Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP, Nik Amlizan Mohamad dan Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Mohd. Shaifuddin Ibrahim. 

Menurut Mohd. Khairul Adib lagi, cadangan menaikkan had umur persaraan itu perlu juga  mengambil kira keadaan ekonomi yang berkembang dengan baik termasuk peluang-peluang pekerjaan sedia ada. 

“Sekiranya pelaksanaan ekonomi berkembang baik dan negara memerlukan tenaga kerja, ia perlu pertimbangan, kerana 500,000 graduan akan keluar dan masuk ke pasaran pekerjaaan setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Khairul menjelaskan, pihaknya mahu penjawat awam memfokuskan usaha dalam memulihkan semula negara selepas pandemik Covid-19. 

“Ketika ini, masyarakat sudahpun keluar dan mula menggunakan perkhidmatan. Sektor ekonomi juga sudah mula beroperasi dan pelbagai sektor perkhidmatan sudah memulakan tugasan mereka. 

“Saya tidak mahu hanya kerana segelintir penjawat awam yang tidak mengambil vaksin ia mengalihkan fokus untuk pemulihan negara. Pihak JPA telah memberikan kuasa mengikut budi bicara kepada ketua jabatan bagi menguruskan sewajarnya mengikut tahap keseriusan. Jika pekerja itu tidak dapat menyampaikan apa yang jabatan perlukan mereka boleh diambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN