Burger naik harga: Bukan kami kawal barang mentah - Utusan Malaysia

Burger naik harga: Bukan kami kawal barang mentah

HASHIM MOHAMED YASEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga bahan mentah yang naik mendadak selepas  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan peniaga burger terpaksa menaikkan harga makanan itu sehingga 50 sen.

Jika sebelum PKP, harga sebiji burger biasa adalah RM3.50, orang ramai kini perlu membayar RM4 untuk menikmatinya.

Setiausaha pertubuhan Ikatan Usahawan Burger Malaysia (IUBM), Hashim Mohamed Yasen berkata, pihaknya tidak menafikan kenaikan harga penjualan itu berdasarkan faktor kenaikan harga barangan mentah dan barangan runcit.

Sehubungan itu, beliau berharap pelanggan tidak menyalahkan sebelah pihak ekoran kenaikan tersebut tetapi perlu melihat pada keseluruhan kenaikan harga barang-barangan lain berserta industri lain.

“Kenaikan harga penjualan berdasarkan faktor kenaikan harga produk pengeluaran daripada pengilang-pengilang utama seperti Patties Burger, bahan-bahan mentah dan sebagainya.

“IUB  sentiasa memantau kenaikan harga-harga burger jualan ahli-ahli kami dengan menyelaraskan harga jualan untuk keseluruhan Malaysia bagi memenuhi keselesaan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Tam’s Burger, Mohd Rizalman Ahdin berkata, kenaikan harga untuk satu penjualan perlu dilakukan demi melangsungkan dan menampung kos perniagaan.

“Pelanggan mula menyalahkan kami dengan menuduh peniaga-peniaga ingin mengaut untung lebih, mereka perlu tahu bahawa kami sendiri tidak mampu mengawal harga barang mentah dan kami juga terkesan dengan kenaikan itu,” ujarnya.

Beliau meminta kerajaan mendengar dan memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil untuk menyuarakan pendapat dan masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Kami juga pemacu perkembangan ekonomi jadi saya harap kerajaan mendengar keluhan kami dengan  mengawal kos bahan mentah dan barangan-barangan keperluan kerana itu adalah tanggungjawab mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya