KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kerajaan membuka pintu sempadan negara bagi menerima pelancong asing sebagai suntikan baharu ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, negara memerlukan wadah baharu bagi merancakkan ekonomi negara kerana pada masa sama kerajaan sudah berjaya melaksanakan program vaksinasi ke atas lebih 95 peratus rakyat dewasa negara ini.
“Kebanyakan negara telah bergerak ke arah itu, kita lihat Turki sebagai contoh, juga Arab Saudi membuka sempadan untuk jemaah datang mengerjakan umrah, UK (United Kingdom) dan negara Eropah membuka sempadan negara mereka untuk menyasarkan pelancongan pada musim sejuk, bererti mereka melihat peluang kedatangan pelancong dengan suatu program serta pemantauan yang ketat dan mereka berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Khairuddin berkata, negara pada ketika ini tidak sepatutnya hanya bergantung dengan putaran ekonomi yang ada semata-mata iaitu kepada penjawat awam sebagai suntikan perbelanjaan.
Katanya, kebergantungan itu nyata tidak memadai dan negara memerlukan asas baharu bagi menyokong kebangkitan ekonomi negara ketika ini.
Katanya lagi, negara kini kembali kepada landasan pemulihan ekonomi terutama selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), baru-baru ini.
“Walaupun pertumbuhan ekonomi pada tahun lepas menguncup sehingga 5.6 peratus, namun kita berjaya bangkit sehingga mencapai pertumbuhan positif 7.1 peratus pada pertengahan tahun ini,” katanya.
Justeru, beliau berharap kerajaan sedang menuju ke arah hasrat membuka pintu sempadan bagi menerima pelancong asing untuk merancakkan lagi ekonomi negara dengan pengawalan yang ketat. – UTUSAN ONLINE