PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka mewujudkan premis khas di seluruh dunia dalam usaha mempromosikan kebudayaan dan warisan unik negara ini kepada masyarakat antarabangsa.
Sehubungan itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, projek perintis itu bakal dilancarkan dalam masa terdekat di sebuah negara jiran sebelum diperluas ke negara lain.
“Saya merahsiakan nama negara itu buat masa ini tetapi ia macam British Council dengan bukan ditempatkan di kedutaan Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Terdahulu, beliau menyertai Mesyuarat Bersama Warga Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Universiti Islam Antarabangsan Malaysia (UIAM) yang diadakan secara dalam talian.
Pertemuan julung kali itu bertemakan Pertukaran Budaya dan Ketamadunan melalui lensa Diplomasi Budaya dengan dihadiri Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Mengulas lanjut, Saifuddin sependapat dengan pertanyaan Utusan Malaysia bahawa premis itu tidak boleh diwujudkan dalam canseri atau bangunan pejabat misi diplomatik Malaysia.
“Saya bersetuju atas faktor keselamatan dan kawasan kedutaan agak sensitif kepada orang awam, premis ini akan diwujudkan di luar untuk kemudahan akses komuniti awam,” katanya.
Justeru, beliau menjadikan konsep British Council sebagai model rujukan dengan ditempatkan Atase Kebudayaan selaku pegawai perhubungan bertaraf diplomat bagi menguruskan aktiviti.
Kaedah itu ujarnya, sama seperti Tourism Malaysia, Lembaga Pelaburan Malaysia, Education Malaysia atau Atase Pertahanan di kedutaan tetapi skop tugas lebih fokus Diplomasi Budaya.
British Council diwujudkan sejak 1934 dengan cawangan di lebih 100 negara termasuk dua premis di Malaysia, berperanan mempromosikan budaya dan bahasa Inggeris bertaraf global. – UTUSAN ONLINE