SHAH ALAM: Menjalani latihan pengendalian dan penyelamatan di air antara persediaan dilakukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sebagai persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang diramalkan berlaku bulan hadapan.
Menurut Pengarahnya, Norazam Khamis, langkah persediaan berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada persediaan menghadapi banjir, malah turut melibatkan tugas menyelamat di sungai.
“Fokus latihan berkenaan adalah melibatkan kemahiran menyelamat mangsa terperangkap di air sama ada dalam situasi banjir atau kejadian kepala air.
“Kami rancang dan sedang melaksanakan latihan itu dalam kalangan anggota sebagai persediaan dalam meningkatkan kemahiran mereka untuk menghadapi situasi kecemasan di air,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan JBPM Selangor dalam menghadapi peralihan Monsun Timur Laut di negeri ini susulan makluman awal dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor mengenai fenomena berkenaan.
Sebelum ini, UPBN Selangor mengeluarkan amaran banjir di beberapa lokasi melibatkan sembilan daerah negeri ini susulan daripada kadar taburan hujan yang diramalkan meningkat bermula bulan ini sehingga Mac tahun depan.
Jelas Norazam lagi, pihaknya juga telah membuat persediaan logistik bagi memastikan tugas menyelamat sepanjang tempoh berkenaan tidak terganggu.
“Kami memang sudah buat persediaan bagi menghadapi sebarang situasi banjir dan sebagainya malah anggota turut melakukan pemantauan di lokasi berisiko,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE