SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memuji tindakan orang awam menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran sebuah panel elektrik di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, semalam.
Kejadian pukul 3.30 petang itu tular di media sosial yang memaparkan keberanian seorang lelaki berusia lingkungan 40-an untuk membantu sebelum ketibaan bomba.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati kebakaran elektrik itu melibatkan panel Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pukul 3.31 petang.
“Setibanya di lokasi, kebakaran itu didapati masih terkawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 10 minit.
“Kita dimaklumkan pemadaman kebakaran itu turut dibantu seorang lelaki yang bertindak lebih awal sebelum ketibaan bomba,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Jelas Norazam, pihaknya kemudian menyerahkan kepada TNB untuk tindakan lanjut selepas operasi tersebut selesai.
Kata beliau, pihaknya menghargai keprihatinan lelaki itu yang dipercayai mengambil alat pemadam api di premis berdekatan untuk memadamkan kebakaran.
“Orang awam boleh membantu di peringkat awal sesuatu kes kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api.
“Namun, mereka perlu menilai jenis kebakaran dan keadaan api selain mengetahui kaedah betul menggunakan alat tersebut,” ujarnya.
Tambah Norazam, pihaknya mengalukan kerjasama orang awam untuk membantu sama ada sebelum atau ketika berlaku kebakaran.
“Sebagai contoh, mereka boleh bersama menjaga pili bomba yang membekalkan sumber air bagi pemadaman kebakaran.
“Selain itu, orang ramai boleh membantu bomba dengan menghubungi talian 999 jika terdapat kebakaran di kawasan masing-masing,” katanya.- UTUSAN ONLINE