PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan berbincang bagi meneliti semula pembinaan tembok penghadang lebih tinggi melibatkan perumahan bertingkat atau berstrata bagi mengelakkan kejadian seperti kanak-kanak terjatuh.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, perbincangan berhubung perkara tersebut perlu dibuat bersama 14 lagi agensi lain yang melibatkan perumahan.
“Kita ada Bahagian Perumahan di kementerian ini jadi, kita akan teliti semula. Dalam konteks perumahan pula, ada 15 agensi yang terlibat dalam industri perumahan (termasuk di bawah KPKT).
“Jadi bukan sahaja KPKT tetapi ada 14 lagi antaranya di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan selain kerajaan-kerajaan negeri supaya semua sedar dan ambil perhatian untuk diselaraskan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PJH), Datuk Hashimah Hashim.
Pada masa sama, Ismail berkata, beliau bersetuju dengan cadangan pembinaan tembok penghadang tersebut dalam mengambil kira faktor keselamatan penghuni terutama kanak-kanak.
“Banyak kes berlaku anak jatuh dari bangunan dan ibu bapa pula sibuk bekerja serta terlepas pandang apabila anak mereka memanjat. Kanak-kanak ini mempunyai potensi masa depan yang baik tetapi usia tidak panjang atas sebab kecuaian dan kelemahan kita.
“Selain itu, kita juga berharap syarikat pemaju perumahan meneliti perkara ini dan ia juga diberi perhatian oleh kerajaan. Kadangkala ia melibatkan kos tambahan (pembinaan tembok tinggi) tetapi biarlah tambah sedikit (kos) untuk selamatkan nyawa anak-anak,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta memastikan pemaju projek perumahan bertingkat atau berstrata supaya mengutamakan keselamatan penghuni, terutama menambah baik aspek pembinaan penghadang yang lebih tinggi.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata, aspek keselamatan itu wajib menjadi keutamaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang, terutama kanak-kanak terjatuh dari tingkat tinggi.
Berhubung MoU antara SWCorp dan PJH hari ini, Ismail berkata, ia bagi menjalinkan hubungan strategik melalui kajian penyelidikan, pembangunan dan inovasi khususnya berkaitan pengurusan sisa pepejal serta mempromosi dan meningkatkan penggunaan sistem pengurusan sisa pepejal pembinaan untuk projek di bawah seliaan PJH.
“Kedua-dua pihak dapat berkongsi data dan maklumat berkenaan pengurusan sisa pepejal pembinaan yang dimiliki sistem Construction Waste Management System (CWMS) yang digunakan untuk pelaporan data sisa pepejal di tapak pembinaan.
“Menerusi kerjasama ini, program dan kempen berkenaan pengurusan sisa pepejal dapat dilaksanakan terutamanya berkaitan amalan terbaik di tapak pembinaan dengan kadar kitar semula sisa pembinaan adalah sebanyak 10.49 peratus.
“Sisa pepejal binaan yang dikitar semula dijadikan sumber baharu yang boleh digunakan semula dalam industri pembinaan,” ujarnya.
Berdasarkan data, sehingga kini PJH merekodkan sebanyak 128 projek pembangunan di Putrajaya dengan anggaran sisa pepejal pembinaan yang dijana dari jumlah projek tersebut adalah sebanyak 84,284 tan.-UTUSAN ONLINE