KUALA LUMPUR : Penyanyi baharu, Syahmi Irfan, 20, mengaku bukan mudah untuk membuat keputusan beralih bidang daripada sukan kepada muzik kerana ada tanggapan tertentu yang perlu ditepis olehnya.
Menurut penyanyi lagu Mungkir ini, dia juga menolak andaian bahawa keputusannya untuk berhenti menjadi atlet badminton kerana terlalu mengejar hasrat ingin menjadi seorang penyanyi dan terlibat dalam dunia hiburan.
“Bukan begitu. Saya berhenti bermain sukan badminton pada tahun lalu kerana ketika bersama pasukan Junior Badminton, pencapaian saya tak berapa bagus.
“Lagipun saya lihat perjalanan dalam bidang sukan itu agak sukar. Jadi saya ambil keputusan untuk cuba nasib dalam industri muzik pula.
“Nak cakap pasal rugi atau tidak, sebenarnya memang sejak kecil lagi saya habiskan masa dengan badminton. Dari segi pengalaman saya dalam sukan, banyak,”katanya.
Syahmi berkata demikian semasa ditemui pada majlis makan malam bersama syarikat pengurusan Indigital Sdn Bhd di Restoran Udang Galah, Putrajaya baru-baru ini.
Selain itu, Syahmi menganggap percaturannya memasuki bidang seni juga tidak cuma sekadar ingin menjadi penyendal.
Menanam hasrat untuk bergelar penyanyi yang baik, Syahmi mahu menimba seberapa banyak pengalaman dan ilmu untuk tujuan tersebut.
Pun begitu, dia menafikan sedang menyambung pelajaran dalam bidang muzik sebagaimana telahan segelintir peminat.
“Saya sedang sambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Tetapi ramai anggap saya ambil jurusan muzik sebab kini menyanyi. Sedangkan sebenarnya saya sambung pengajian dalam bidang sukan.
“Masa saya habis sekolah, memang ada perasaan nak ambil jurusan muzik. Tetapi masa di sekolah sukan, saya banyak belajar tentang sukan.
“Jadi saya rasa rugi juga kalau saya tak teruskan pelajaran dalam jurusan sukan sebab saya dah banyak tahu tentang bidang itu,” katanya.