Belia negara ini mula celik urus kewangan peribadi - Utusan Malaysia

Belia negara ini mula celik urus kewangan peribadi

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan belia tempatan didapati sudah mula menunjukkan kesedaran diri dalam pengurusan kewangan peribadi seawal tahap usia remaja lepasan sekolah.

Berita gembira tersebut dikongsi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memetik satu laporan kajian terbaharu dilaksanakan pada awal tahun ini.

“Penyelidikan tersebut menunjukkan adanya keinginan yang tinggi dalam kalangan belia berusia 18 tahun hingga 29 tahun untuk mencapai kejayaan kewangan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bengkel Pengurusan Kewangan ‘My Money and Me 2021’ secara maya dianjurkan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) hari ini.

Pertubuhan bukan kerajaan diasaskan sejak 2004 itu ketika ini dianggotai lebih 12,000 perancang kewangan bertauliah termasuk bidang syariah dengan pejabat cawangan di tiga negeri.

Laporan Bank Dunia sebelum ini mendedahkan 60 peratus individu berusia 25 hingga 44 tahun di Malaysia diisytihar muflis ekoran tabiat berbelanja yang melebihi pendapatan.

Malah ancaman Covid-19 sejak awal tahun lalu menyaksikan jumlah kebankrapan melonjak agak drastik dengan banyak disebabkan kes kegagalan pembayaran balik pinjaman peribadi.

Mengulas lanjut, Zafrul bagaimanapun merujuk kajian terkini diuruskan kumpulan penyelidik MFPC dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai isu literasi kewangan.

”Ramai kelompok usia berkenaan sudah semakin celik berbelanja selain lebih cakna dalam aspek sosialisasi kewangan, kemahiran teknologi kewangan dan kawalan kendiri,” jelasnya.

Ia susulan isu peningkatan kos sara hidup, kesan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah memberi impak besar pengurusan kewangan golongan belia.

Kajian itu jelas beliau, menunjukkan ada hubungan signifikan positif dan kesan langsung antara literasi kewangan terhadap kesejahteraan kewangan kelompok terbabit ketika ini.

Justeru beliau berkeyakinan tingkah laku kewangan yang positif menjadi perkara yang paling harus ditekankan kerana ia antara penentu tahap kesejahteraan paling kritikal.

Zafrul menambah, dalam menyokong usaha itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM300 juta kepada beliau melalui inisiatif e-Start bagi mendorong penggunaan e-wallet.

“Bagaimanapun, ada juga teknologi kewangan yang berupaya memiliki pengaruh negatif seperti Buy Now Pay Later yang kini menjadi tarikan kepada belia berhutang besar,” katanya.

Sehubungan itu, pendidikan celik kewangan perlu diperkasakan bagi memastikan golongan tersebut membuat keputusan betul dan menjamin kesejahteraan kewangan jangka panjang.

Beliau percaya, kelompok tersebut secara dasarnya mempunyai keinginan besar untuk meningkatkan tahap sosioekonomi peribadi dengan bimbingan dan tunjuk ajar berterusan.

Program pendidikan seperti My Money and Me kata Zafrul, diyakini berkemampuan memberi panduan yang lebih sistematik dalam merancang dan mengurus kewangan dengan lebih baik.

Malah, beliau berharap bengkel sebegini dianjurkan kerap serta gembira kerana pihak MFPC bekerjasama dengan pakar akademik dan pemain teknologi bagi menambah baik modul.

Program percuma sehari itu turut mendapat kerjasama Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pelbagai agensi lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya