KUALA TERENGGANU: Bekas pengurus Ladang Tabung Tentera Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah bernilai RM27,500, kira-kira enam tahun lalu.
Tertuduh, Sauddin Che Lamin, 57, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan berkenaan sebagai upah kerana memilih dua syarikat bagi melaksanakan kerja-kerja pembekalan barangan di ladang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ladang Tabung Tentera Terengganu di Kemaman antara Julai hingga Disember 2015.
Sauddin didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ikhwan Zaudii Nordin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.
Mahkamah menetapkan 3 Januari ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM setiap awal bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa. – UTUSAN ONLINE