Bekas pengurus, jurutera warga India didakwa rasuah polis - Utusan Malaysia

Bekas pengurus, jurutera warga India didakwa rasuah polis

CHAVDA Narendrakumar Ranjitsinh (dua kiri), Kansara Sanjay Bhojabhai (tiga kiri) dan Patel Gaurangkumar Hasmukhbhai (dua kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi berdepan pendakwaan merasuah anggota polis di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengurus dan dua bekas jurutera warganegara India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM2,922 kepada polis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang setelah ditahan melanggar prosedur operasi standard (SOP), September lalu. 

Tertuduh, Kansara Sanjay Bhojabhai, 42; Chavda Narendrakumar Ranjitsinh, 35, dan Patel Gaurangkumar Hasmukhbhai, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail.

Bagaimanapun, Ahmad Kamil mengarahkan kesemua tertuduh yang merupakan bekas pekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, dekat sini untuk melantik jurubahasa dalam bahasa ibunda mereka.

Hakim turut memerintahkan kes disebut semula pada 22 Disember ini setelah ragu-ragu ketiga-tiga lelaki itu faham implikasi pengakuan yang dibuat serta hukuman yang boleh diambil terhadap mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, Kansara, Chavda dan Patel merasuah anggota polis berpangkat lans koperal sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara dengan berhimpun di premis dalam kawasan tempatan jangkitan bagi tujuan sosial.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 10.16 malam di Balai Polis Sentral, Jalan Meldrum, di sini, 3 September lalu. 

Bagi perbuatan itu, ketiga-tiga lelaki terbabit didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN