MELAKA: Jabatan Meteorologi Malaysia meramal beberapa kawasan di negeri ini mengalami hujan lebat berserta ribut petir pada petang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menerusi ciapan jabatan itu di laman Twitter, hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di kawasan Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.
Bagaimanapun, cuaca di ketiga-tiga kawasan berkenaan pada sebelah pagi diramal cerah dan tiada hujan.
“Para pengundi di Melaka perlu merancang waktu keluar mengundi dengan sebaik mungkin untuk memudahkan perjalanan proses pengundian esok,” kata jabatan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang.
Namun demikian, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir. – UTUSAN