BERUAS: Seorang bayi lelaki berusia 14 hari maut manakala enam individu termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas kereta dinaiki bertembung lori di Kampung Gelung Gajah, dekat Ayer Tawar, pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.20 pagi itu, kereta Perodua Kancil dinaiki bayi itu bersama lima individu dipercayai keluarganya terdiri daripada ibu berusia 36 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki berusia antara dua hingga sembilan tahun, bertembung lori dipandu seorang lelaki berusia 50-an.
Difahamkan, lori tersebut dari arah Ayer Tawar menghala ke Beruas manakala kereta dinaiki keluarga berkenaan dari arah bertentangan.
Nahas dipercayai berlaku selepas kereta itu dipercayai melanggar dua ekor lembu sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori tersebut.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Suhaimi Nijar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.24 pagi sebelum bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, didapati lelaki dan tiga kanak-kanak sudah dikeluarkan dari kereta dan dibawa ke hospital oleh orang awam.
“Penumpang hadapan kereta iaitu wanita didapati tersepit, manakala bayi lelaki disahkan maut di lokasi oleh pihak perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Suhaimi, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan sementara bayi tersebut pula sudah dikeluarkan dari kenderaan.
Katanya, mayat bayi diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi diketuainya itu tamat pada pukul 7.58 pagi. – UTUSAN ONLINE