MELAKA: Persoalan berhubung siapakah antara 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang akan dipilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bakal diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kebolehan serta pengalaman seseorang ADUN sebelum dapat dipertanggungjawabkan untuk memegang mena-mana portfolio.
Jelasnya, sebaik sahaja diperhalusi, perkara itu bakal dirujuk kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dalam masa terdekat.
“Mengenai pelantikan Exco, saya perlu menilai jumlah kerusi yang telah dimenangi, insya-Allah saya akan memaklumkan perkara ini selepas mengambil kira aspek kebolehan dan begitu juga pengalaman bagi setiap portfolio yang saya lantik.
“Ia berdasarkan mereka yang memenangi 21 kerusi, selepas itu saya akan memaklumkan untuk berbincang dengan Tuan Yang Terutama Tun (Mohd. Ali), kemungkinan pada minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.
Terdahulu, ADUN Lendu itu selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada pukul 12.58 tengah malam tadi.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan itu dilakukan di hadapan Mohd. Ali selepas BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar 21 kerusi.
Yang hadir sama isteri Mohd. Ali, Toh Puan Asmah Abd. Rahman.
Turut hadir menyaksikan acara angkat sumpah itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN ONLINE